Tempat Menarik Di Bandar Hilir

Banda Hilir

Sunday, May 17, 2015

Masjid Selat Melaka di Pulau Melaka sering jadi tumpuan pelancong

photo by: https://www.flickr.com/photos/zhai_genji/
Setiap kali musim cuti persekolahan atau cuti hujung minggu, bandar raya Melaka akan sentiasa sesak dengan kehadiran pelancong sama ada dari dalam dan luar negara.

Negeri yang mempunyai pelbagai destinasi tumpuan pelancongan dan tempat bersejarah itu sentiasa dipenuhi dengan pengunjung menandakan Melaka sebuah negeri pelancongan yang mampu menarik minat ramai.
Sebut sahaja apa destinasi menarik di Melaka, antaranya Masjid Selat Melaka yang terletak di Banda Hilir, ia sering menjadi tum-puan pelancong untuk menikmati keindahan lautan Selat Melaka yang terbentang luas dari sebuah binaan bercirikan seni bina unik.

Masjid Selat Melaka antara destinasi menarik yang perlu dikunjungi jika bertandang ke negeri Melaka. Ia dikenali sebagai Masjid Terapung kerana seolah-olah terapung ketika air pasang dan ia menjadi antara lokasi pilihan jurugambar tidak kira tempatan atau negara luar.

Masjid tersebut dibina dengan kos sebanyak RM11 juta di Pulau Melaka dan terletak di tepi Selat Melaka yang merupakan selat ter-sibuk dan terpanjang di dunia.

Ia terletak di atas tapak berkeluasan 1.8 hektar dan mampu menampung kapasiti sehingga 2,000 jemaah pada satu masa.

Pembinaannya bermula pada Jun 2003 dan siap sepenuhnya pada 29 Ogos 2006. Ia dirasmikan oleh Yang di-Pertuan Agong ketika itu, Tuanku Syed Sirajuddin Ibni Al-Marhum Tuanku Syed Putra Jamalullail pada 24 November 2006.

Masjid Selat Melaka dibina di tengah-tengah kawasan pusat perniagaan di Banda Hilir dan menjadi mercu tanda terkini di negeri ini selain menunjukkan kesungguhan kerajaan negeri yang komited dalam meningkatkan syiar Islam.

Yang menariknya Masjid Selat Melaka ini dibina di atas permukaan laut di dalam kawasan pulau buatan yang diberi nama Pulau Melaka.

Seni bina yang ditonjolkan pada Masjid Selat Melaka ini amat unik seperti kata bekas Ketua Menteri Melaka, Tan Sri Mohd. Ali Rustam, binaan Masjid Selat Melaka menyamai sebuah masjid terapung di Jeddah, Arab Saudi.

Apa yang menarik, idea pembinaan masjid tersebut merupakan cetusan daripada Mohd. Ali sendiri ketika beliau melawat Jeddah suatu masa dahulu.

Suasana tenang dan damai di Masjid Selat Melaka cukup membuatkan hati pengunjung akan terusik apatah lagi ketenangan itu dapat dirasai apabila menunaikan solat di dalam masjid itu sambil menikmati hembusan bayu Selat Melaka yang pasti menenangkan jiwa.

Antara yang terdapat di masjid ini adalah menaranya setinggi 30 meter di bahagian kiri pintu gerbang Masjid Selat Melaka, dan ia bukan sekadar untuk mengumandangkan azan sebaliknya berpe-ranan sebagai rumah api.

Cahaya yang dipancarkan me-lalui menara itu menjadi pedoman kepada kapal dan perahu yang melalui Selat Melaka selain menjadi panduan kepada pesawat di ruang udara.

Terdapat empat kubah kecil di setiap penjuru masjid yang menjadi pelengkap kepada kubah besar. Di bawah kubah besar itu terdapat dewan besar solat berukuran 24 meter persegi.


Yang pasti, kunjungan pelancong ke Melaka tidak lengkap jika mereka tidak melawat masjid ini yang bukan sahaja menjadi sebutan malah ia juga mampu menarik kedatangan pelancong ke negeri bersejarah itu setiap tahun.

Sumber: Utusan Malaysia

No comments:
Write comments