Header Ads Widget

PM Buat Pengumuman Penting Menerusi TV Pukul 11.30 Pagi Ini

KUALA LUMPUR, 3 April (Bernama) -- Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dijadual berucap melalui televisyen secara langsung pada pukul 11.30 pagi ini, menurut Jabatan Perdana Menteri melalui laman Twitter pagi Rabu.

Sebelum ini, laporan media meramalkan perdana menteri akan mengumumkan pembubaran Dewan Rakyat untuk memberi laluan kepada pilihan raya umum ke-13 Rabu.

Terdahulu pagi Rabu, perdana menteri menghadap Yang di-Pertuan Agong Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah di Istana Negara sebelum mempengerusikan mesyuarat mingguan Jemaah Menteri di Putrajaya.

Kenderaan rasmi perdana menteri dilihat memasuki kawasan Istana Negara pukul 8.10 pagi sebelum dilihat bergerak keluar kira-kira sejam kemudian.

Pada pukul 9.50 pagi, Najib yang berpakaian lounge suit gelap dan bertali leher merah tiba dengan wajah ceria di Kompleks Perdana Putra di Putrajaya untuk mempengerusikan mesyuarat mingguan Kabinet.

Beliau disambut dengan tepukan oleh jemaah menteri yang mengucapkan tahniah sempena ulang tahun ke-4 Najib sebagai perdana menteri.

Hadir sama ialah Ketua Setiausaha Negara Datuk Seri Dr Ali Hamsa dan Timbalan Ketua Setiausaha (Kabinet) Tan Sri Mazidah Abdul Majid.

Najib dijangka bergambar bersama barisan jemaah menteri selepas mempengerusikan mesyuarat.

Hari ini genap empat tahun Najib menerajui negara selepas dilantik sebagai perdana menteri. Beliau menggantikan Tun Abdullah Ahmad Badawi pada tahun 2009.

-- BERNAMA

Post a Comment

0 Comments